Kisah Seram - Kisah Misteri Di Pantai East Coast

 

- Minggu lalu, saya dan beberapa teman rapat telah bersantai di pantai East Coast. Sesampai saja di destinasi kami, budak-budak lelaki semuanya tolong mendirikan khemah untuk berteduh sepanjang hari. Mereka asyik mengadu bahawa mereka terbau busuk yang teramat sangat. Mereka hendak tukar tempat perkhemahan kerana tidak tahan dengan baunya. Itu pun kami budak perempuan buat bodoh saja kerana kami tahu mereka memang suka menganggu kami.
Malang tidak berbau. Hujan turun dengan lebat, tetapi budak-budak lelaki masih juga bermain dalam hujan. Mereka terjun ke laut dan bermandi-manda. Mereka bergurauan antara satu sama lain dan kami yang perempuan semua duduk diam2 di dalam khemah kerana takut basah. Tiba-tiba saja si Fendi yang di dalam laut lemas, dan kami semua sekali berlari ke arahnya untuk melihat apa yang terjadi. Teman lelaki saya cuba tolong tariknya semula ke pantai tapi tidak dapat jumpa pun tubuhnya. Budak-budak lelaki tidak mahu menyerah kalah dan walaupun sudah waktu Maghrib, mereka masih mencari-carinya. Kami yang perempuan sudah panik dan cuba meminta tolong orang dewasa yang berdekatan.



Alangkah terperanjatnya apabila tiba-tiba saja Fendi memeluk kami dari belakang dengan senyuman yang lebar. Katanya, "Sorry aku lambat keluar. Sakit perut lah." Kami ada lah ingatkan dia hendak main-mainkan kami semua, rupanya dia kata dia baru keluar tandas dari tadi keranasakit perut. Budak-budak lelaki dah tak sedap hati. Mereka rasa marah padanya. Mereka fikir dia sengaja hendak membuat mereka cuak. Muka Fendi pun terpinga-pinga. Masih waktu Maghrib, jadi teman lelaki saya menyuruh kami semua masuk duduk di dalam khemah. Khemah kami sempit, ramai orang pula. Jadi terpaksa duduk rapat-rapat. Sedang kami cuba duduk rapat-rapat, terdengar suara Fendi terpekik kesakitan. Dia marah orang yang tak sengaja memijak badan belakangnya. Budak-budak lelaki semakin rasa marah kerana mereka fikir Fendi masih mahu main-mainkan kami.

Fendi naik mengamuk dan semua orang dalam khemah itu diam sahaja. Tiada yang berani bersuara. Minit demi minit berlalu dan suasana semakin sejuk. Ada yang sudah tertidur, ada yang sedang mendengar alat pemain mp3 masing-masing. Fendi hanya merenung ke arah atas khemah kami sambil baring. Dia berbual dengan saya. Katanya, "Cantik... Cantik sekali..." Saya pun merenunglah ke arah yang dia memandang, lalu saya menunduk. Saya tidak mahu cakap apa yang saya ternampak. Sampai sekarang saya tak nak ingat semula wajah ngeri itu. Saya mengajak kawan perempuan saya keluar, kononnya mahu ke tandas. Kelihatan sehelai kain kuning tergantung di dahan pokok sebelah khemah kami. Terbau busuk yang teramat sangat, bagaikan bau bangkai.

Fendi keluar dari khemah kami sambil memarahi saya dan Syu kerana memanggil "Perempuan cantik'' itu busuk bagai bangkai. Kami terperanjat dengan kata-katanya lalu memanggil budak-budak lelaki semua keluar. Terjadilah sebuah perang besar antara mereka. Yelah, tak ke orang hairan? Dengan tiba-tiba si Fendi yang selalunya ceria asyik marah-marah dan berlagak pelik. Fendi menyuruh kami beredar dari tempat itu dengan nada suara yang tinggi dan bukan seperti suaranya sendiri. Dengan rasa marah dan kerana tak tahan dengan bau busuk tu, kami semua mengangkat barang-barang kami dan meninggalkan tempat itu. Budak-budak lelaki ada lah terpekik-terpekau sambil memaki hamun si Fendi.

Sambil berjalan keluar dari daerah D itu, saya tak sengaja menjenguk ke belakang kerana rasa kasihan pulak si Fendi tu keseorangan. Alangkah peliknya dengan tiba-tiba sahaja tempat bekas perkhemahan kita tadi tidak kelihatan langsung. Hanya ternampak bayangan dua orang sedang bermandi-manda di laut - tempat sama yang tadinya kita fikir Fendi tenggelam. Sehingga sekarang kami tidak lagi dengar akan khabarnya ataupun ternampak wajahnya di daerah tempat tinggalnya. Selepas kejadian itu, tiada siapa yang berani menelefon beliau. Entah ke mana dia sekarang. Sampai sekarang pun saya dan teman-teman tidak pernah jejak ke pantai East Coast kawasan D lagi.


LihatTutupKomentar